Copyright © 2019 WISEsg. All rights reserved.

WATCH

in the news

Shanmugam: Kanun Keseksaan disemak agar lebih lindungi golongan lemah

Norman Sawi, Berita Harian

17 July 2018

KANUN Keseksaan, yang kini sedang disemak semula, boleh merangkumi jenayah baru dan hukuman lebih berat bagi orang yang menganiaya golongan lemah, kata Menteri Undang-Undang K. Shanmugam.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata lebih banyak perlu dilakukan bagi melindungi kanak-kanak, golongan kurang upaya dan pembantu rumah.

"Cara kita melayan mereka mencerminkan kita sebagai masyarakat," kata Encik Shanmugam.

"Kita perlu bertindak betul ke atas mereka."

Encik Shanmugam berkata demikian dalam ucapan dasar yang diberi di acara tahunan anjuran Pertubuhan Peguam Muslim (AML) baru-baru ini.

Memberi contoh beberapa kes profil tinggi di mana mangsa lemah dicedera atau dibunuh oleh orang yang sepatutnya melindungi mereka, Encik Shanmugam berkata pemerintah sedang meneliti cara lebih baik melindungi kanak-kanak daripada penganiayaan seksual dan perbuatan eksploitasi seperti pornografi kanak-kanak.

Pemerintah juga sedang meneliti cara lebih baik melindungi mangsa lemah daripada penganiayaan yang menyebabkan kecederaan teruk atau kematian serta menyemak imuniti perkahwinan atau 'marital immunity' bagi kes rogol.

Encik Shanmugam menimbulkan kes mangsa penderaan seperti Cik Annie Ee, wanita kurang keupayaan intelektual dan kanak-kanak dua tahun Mohamad Daniel Mohamad Nasser pada 2015.

Cik Ee meninggal dunia selepas pasangan yang menetap serumah dengannya memukulnya berulang kali.

Mohamad Daniel meninggal dunia ekoran otak berdarah selepas ibunya yang sedang mengandung serta teman lelakinya yang tinggal serumah menendang dan menyepaknya selama beberapa hari.

Pesalah dalam kededua kes dikenakan hukuman penjara antara 10 dengan 16.5 tahun.

Lelaki yang menganiaya Cik Ee juga dikenakan 14 sebatan rotan sementara lelaki yang menyebabkan kematian Mohamad Daniel menerima 12 sebatan.

Golongan pembantu rumah juga layak diberi lebih perlindungan, kata Encik Shanmugam.

Beliau memberi contoh kes pekerja dari Filipina, Cik Thelma Oyasan Gawidan, yang hanya diberi makan sekeping roti dan mi segera sepanjang 15 bulan oleh majikannya.

 

Berat badan Cik Gawidan merosot daripada 49 kilogram kepada 29.4 kilogram.

Majikan Cik Gawidan dikenakan hukuman penjara 10 bulan selepas rayuan pendakwa.

Encik Shanmugam juga akur kemarahan awam berkenaan tanggapan hukuman ke atas kes jurulatih seni pertahanan diri campuran Joshua Robinson tidak mencukupi, dengan satu petisyen dalam talian telah menarik 26,000 tandatangan.

Tahun lalu, Robinson dikenakan hukuman penjara empat tahun bagi berbilang kesalahan, daripada perbuatan seks dengan dua remaja berusia 15 tahun kepada menunjukkan filem lucah kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Penyiasat juga menemui hampir 6,000 filem lucah di tempat kediaman Robinson, termasuk lebih 300 yang menampilkan kanak-kanak berusia dua dengan 16 tahun.

Jenayah seperti ini 'sangat kejam dan kesemuanya tidak masuk akal', kata Encik Shanmugam.

Mengulas tentang peranan undang-undang bagi melindungi individu lemah secara lebih baik, Encik Shanmugam berkata undang-undang adalah tentang menyelamatkan nyawa.

"Undang-undang bukan permainan... amanah saya ialah memastikan permainan ini tidak berlaku. Justeru kami akan meminda undang-undang," ujar Encik Shangmugam.

Semakan semula Kanun Seksaan dijadual lengkap akhir tahun ini.

Mac lalu, Parlimen meluluskan beberapa pindaan kepada Kod Prosedur Jenayah dan Akta Bukti yang bertujuan mempertingkat tahap keadilan prosedur yang ada dan memastikan sistem keadilan jenayah yang tepat dan saksama.

Pindaan itu juga bertujuan memperkukuh perlindungan bagi individu yang berisiko dalam masyarakat.

Ini termasuk membenarkan rakaman video apabila mengambil kenyataan suspek, yang bakal diperkenalkan secara berperingkat - bermula dengan sesetengah kes rogol - dan peruntukan bagi membenarkan kenyataan mangsa berisiko dirakamkan di video untuk digunakan bagi mengganti kenyataan lisan di mahkamah pada masa depan.