top of page

WATCH

in the news

Risiko berita palsu pada masyarakat berbilang kaum

Rosebi Mohd Sah

November 20, 2017

SINGAPURA tidak boleh menanggung risiko daripada mempunyai masyarakat berbilang kaum yang menaruh perasaan saling syak mengesyaki dan berpendirian eksklusif, yang disebarkan menerusi kejahilan dan sikap tidak mengambil peduli akibat gejala berita palsu.

Malah, ramai yang tidak sedar bahawa mereka mungkin bersubahat dalam penyebaran berita palsu, terutama yang berbau agama dan perkauman, dan menyebabkan risiko merosakkan keyakinan sosial, kepercayaan dan keamanan negara, tegas Presiden Persatuan Peguam Islam Singapura (AML), Encik Mohd Noor Marican.

"Apa yang lebih membimbangkan, berita palsu telah digunakan bagi menegakkan motif-motif ideologi - baik politik, agama mahupun perkauman.

"Kebetulan pula, beberapa kes seperti itu telah menyebabkan kekeliruan, mengocakkan keraguan dan kebimbangan, merancakkan fahaman berpuak, menyuntik perasaan syak wasangka dan memecahbelahkan keharmonian sosial," ujarnya semasa memberi kata-kata aluan dalam Ceramah Tahunan Persatuan Peguam Muslim Singapura (AML) 2017 bertajuk "Berita Palsu - Bahaya dan Kerosakan" di auditorium bangunan Kementerian Pembangunan Negara baru-baru ini.

Encik Noor Marican yang juga pengerusi forum tersebut berkata golongan muda yang paling terdedah dengan gejala berita dan maklumat palsu dan justeru, perlu bimbingan dan dibantu bagi mempengaruhi psikologi dan penyemaian sosial mereka.

Menurutnya, walaupun gejala berita palsu bukanlah satu fenomena baru, namun terdapat kebimbangan yang semakin meningkat.

Ini terutamanya disebabkan semakin berkembang dan pemesatan ruang siber yang mana ianya sukar dikawal dengan adab sopan dalam perbicaraan semakin runtuh.

"Warga siber semakin terdedah untuk terpikat, terganggu atau tertipu oleh kandungan-kandungan yang palsu, pembohongan dan maklumat yang tidak tepat yang disebarkan menerusi sumber-sumber yang tidak bertanggungjawab, cuai dan melulu, serta yang berniat jahat," katanya memberi amaran.

Justeru, menurutnya, terdapat keperluan serius bagi mendidik pengguna berita dan masyarakat awam tentang literasi digital bagi memahirkan mereka dengan pemikiran yang logik yang dapat memisahkan antara fakta dengan hayalan, serta kesan-kesannya yang termasuk keselamatan, budaya, suara hati, subahat, kesalahan dan pertanggungjawapan.

Ini, menurut beliau lagi, akan dapat menyumbang kepada daya ketahanan bagi generasi sekarang dan generasi akan datang.

Encik Noor Marican berkata masyarakat pelbagai golongan terutamanya peguam, pemimpin dan profesional muda, pihak media, golongan pendidik, para pemimpin agama, sosial dan masyarakat terutamanya perlu lebih menyedari akan bahaya dan kerosakan-kerosakan akibat berita palsu.

bottom of page