top of page

WATCH

in the news

Jadikan kepelbagaian agama satu kekuatan

KEPELBAGAIAN bangsa dan agama adalah satu kekuatan jika ia dapat dipupuk dengan baik, namun boleh membinasakan jika ia terbiar, diambil remeh atau dimanipulasi. 


Untuk itu, fabrik antara agama Singapura harus dipantau dan disemai bagi mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan di kalangan rakyat Singapura yang pelbagai agama

 

Demikian ditekankan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, dalam ucapannya sempena sesi kedua siri dialog antara agama `Munasabah bagi Ruang Bersama' yang diadakan di auditorium Singapore Press Holdings (SPH) semalam.

 

Sesi dialog berjudul `Jejaki Pelangi' itu memaparkan tiga penceramah — Encik Saifulbahry Salleh, Master Tan Zhixia, dan Encik Neil Brian — yang membincangkan aspek kerohanian warna juga melambangkan kepelbagaian.

 

Dalam ucapannya, Dr Maliki menambah bahawa perpaduan antara agama kini bertambah kritikal berbanding sebelum ini terutama sekali dengan cabaran yang dihadapi sekarang.

 

“Krisis yang berlaku di luar negara melibatkan agama berbeza tidak semestinya disebabkan isu agama, kebanyakannya didorong politik tempatan atau perbezaan puak.

 

“Kita mesti sedar dan jangan membiarkan perpaduan antara agama kita terjejas oleh isu atau budaya luar negara,” ujarnya.

 

Beliau memaklumkan dengan media sosial, perselisihan agama atau bangsa boleh bermula tidak kira masa atau waktu, dan tiada negara atau masyarakat yang terkecuali.

 

Kata Dr Maliki: "Pelaburan kita dalam usaha menjalin keharmonian antara agama amat penting. "Meningkatkan perpaduan antara agama adalah salah satu asas dalam mengukuhkan kewaspadaan, kepercayaan, gerak hati, perpaduan yang kemudian mengukuhkan daya tahan masyarakat."

 

Namun Dr Maliki berkata perpaduan antara agama, terutama sekali dalam masyarakat yang meningkat tahap keagamaannya, tidak dapat dicapai dengan berkesan jika isu antara agama berterusan.

 

"Ini merupakan bidang penting yang harus diperhatikan dan diuruskan dengan serius jika kita ingin mengekalkan keharmonian hidup bersama serta meningkatkan perpaduan bagi menghadapi pengaruh dan cabaran dari luar yang meningkat," katanya.

 

Siri dialog itu merupakan sebahagian pendekatan CDC South East dalam mengadakan perbincangan antara agama dan bangsa yang lebih intensif dan berkesan.

 

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai agama dan budaya yang berbeza dengan memberi tumpuan kepada persamaan di sebalik kepelbagaian.

 

Semalam, ketiga-tiga penceramah telah menyentuh tentang peranan warna dalam agama masing-masing.

 

Master Tan Zhixia yang beragama Tao misalnya membandingkan kepelbagaian agama kepada kepelbagaian bunga.

 

"Walaupun terdapat begitu banyak jenis dan warna bunga, namun mereka semua dapat hidup dalam keadaan harmoni bersama, mungkin inilah yang harus kita contohi," katanya. 

bottom of page