



WATCH
in the news

Maliki: Perlu lebih usaha sejajarkan pemahaman agama Islam
Suhaimi Mohsen, Berita Harian
5 September 2016
LEBIH banyak yang perlu dilakukan bagi mensejajarkan pemahaman agama di kalangan umat Islam.
​
Ini akan membantu membina asas yang kukuh berhubung pemahaman antara agama dan menyemarakkan perpaduan.
​
Jika orang Islam sendiri tidak tahu tafsiran yang betul dan sesuai tentang ajaran agama mereka, bagaimana mereka dapat berkongsi dengan rakyat Singapura yang lain mengenai makna sebenar.
​
Mereka malah akan terdedah pada pengaruh kumpulan bahaya seperti ISIS dan kumpulan pelampau lain.
​
Demikian dinyatakan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pertahanan), Dr Mohamad Maliki Osman, semasa berucap di majlis tayangan filem dokumentari Jihad Selfie mengenai beberapa belia Indonesia yang menjadi radikal dan pengaruh radikalisme siber.
​
Tayangan filem 50 minit itu, yang dihasilkan oleh pembuat filem Indonesia, Encik Noor Huda Ismail, dianjurkan Persatuan Peguam Muslim, di Auditorium RELC kelmarin.
Menekankan perlunya pendirian bersama menentang pengganasan, beliau berkata bahawa rakyat, pihak swasta dan pemerintah serta negara jiran perlu memainkan peranan memerangi ancaman pengganasan dan ekstremisme.
​
​
Tahun ini sahaja, sekumpulan pekerja asing dan beberapa warga Singapura yang radikal telah ditahan. Satu kumpulan sel di Batam yang merancang melancarkan serangan roket ke Marina Bay Sands juga terbongkar.
​
"Kita bernasib baik, tetapi ingat pengganas tidak akan berputus asa. Kita mesti sentiasa berjaga-jaga dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," kata beliau.
​
Beliau berkata pasukan keselamatan Singapura dalam keadaan berjaga-jaga dan mengasah kesediaan dengan menjalankan simulasi latihan serangan pengganas di Kawasan Pusat Bandar (CBD) dan tempat awam.
​
"Namun, senjata pengganasan mereka lebih daripada setakat senjata api, bom dan jaket bunuh diri. "Mereka meluaskan medan pertempuran ke alam siber, cuba menyerang kita melalui indoktrinasi dan rekrutmen, pengaruh radikal atau menimbulkan kekeliruan.
​
"Propaganda ISIS mahir dalam media sosial. Mereka tahu bagaimana menghasilkan dan mengedarkan video menunjukkan kehebatan perjuangan mereka. Perang siber menjejas minda anak muda kita... di mana-mana," kata beliau.
​
ISIS, ujar Dr Maliki, mahu umat Islam berperang sesama diri dengan menyemai rasa takut, tidak percaya dan menyuntik maklumat salah. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku kerana masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama.
​
Lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi memerangi dan melawan pengaruh radikal dalam talian.
Tayangan dokumentari itu dan perbincangan yang menyusul adalah contoh permulaan yang baik.
"Kita juga perlu menggalakkan dan membangunkan naratif yang sepadu dan berkesan terhadap ISIS, sama ada di Facebook, Twitter, You-Tube dan perbincangan atau forum awam," ujar beliau.
Usaha mempromosikan pemahaman antara agama dan perpaduan sosial harus diteruskan.
"ISIS dan naratif kumpulan pelampau lain menyasarkan salah faham dan kekeliruan dalam agama. Mereka sedikit sebanyak berjaya merosakkan pemahaman Islam dengan memintalkan jenis fahaman bercorak pelampau yang menerima sikap eksklusif dan tindakan ganas. Mereka menolak kepelbagaian dan keharmonian antara manusia berlainan fahaman agama. Semua ini bertentangan dengan ajaran Islam," kata Dr Maliki.