top of page

WATCH

in the news

Maliki: Fahami Tiga Kunci Perangi Ideologi Radikal 

Irma Kamarudin, Berita Harian

2 May 2018

PEMIKIRAN kritikal, kecelikan digital dan kebolehan memahami peranan politik antarabangsa adalah kunci dalam memerangi ideologi radikal, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.

Memberi ucapannya pada akhir sesi dialog selepas tayangan dokumentari Jihad Selfie baru-baru ini, Dr Maliki berkata penting bagi masyarakat setempat mengetahui aspek-aspek tersebut apabila berbincang tentang soal pengganasan dan radikalisme.

Di sesi dialog itu, pemuda Indonesia berusia 19 tahun, Encik Teuku Akbar Maulana— yang tampil dalam dokumentari itu — mengongsi cerita bagaimana beliau hampir terjebak menjadi militan ISIS, tetapi terselamat, antara lain kerana pemikiran kritikalnya.

Encik Akbar telah mempersoal sama ada jihad yang ingin dilakukannya itu adalah benar dan telah membuat kajian lanjut untuk mendapatkan kepastian.

Dr Maliki berkata bahawa pemikiran kritikal yang dipaparkan Encik Akbar itu adalah amat penting dan guru serta asatizah di sini perlu menggalakkan murid memahami proses pembelajaran berbanding hanya menekankan apa yang perlu dipelajari.

“Jangan takut membolehkan murid anda bertanya soalan. Saya masih ingat lagi ustazpada masa lalu tidak membenarkan kami bertanya soalan. Ibu bapa kita tidak benarkan kita tanya soalan... Hari ini, keadaannya berbeza. Jika anda menggunakan pedagogi yang sama, kita akan menjadi renggang dengan anak-anak muda kita.

“Ini bermakna kita juga perlu ada keyakinan bahawa kita mungkin tidak tahu semua
perkara. Dan di sinilah kita mahu menggalakkan anak-anak muda agar melalui perjalanan pembelajaran bersama-sama,” kata beliau.

Dalam zaman teknologi serba canggih hari ini, Dr Maliki turut menekankan pentingya masyarakat memahami fungsi algoritma Internet.​ Algoritma adalah set proses dalam operasi yang dapat merakam dan memahami corak dan minat pencarian, pembacaan dan tontonan individu di Internet.

 

Contohnya, jika seorang individu itu mencari topik berkaitan ektremisme atau radikalisme di Internet, pos, gambar atau video berkaitan topik sedemikian akan sering timbul dalam media sosial mereka.

Ini boleh membuat individu itu terperangkap dalam lingkungan topik itu kerana mereka asyik melihat artikel, pos, gambar atau video berkaitan topik yang sama.

 

Dr Maliki berkata bahawa asatizah perlu bekerjasama dengan karyawan teknologi maklumat (IT) untuk lebih memahami fungsi media digital.

 

“Penggunaan media digital dalam kalangan ISIS amat canggih kerana mereka tahu bagaimana algoritma berfungsi, tetapi kita tidak tahu… Kecelikan digital amat penting. Kita perlu bekerjasama dengan pelbagai sektor yang berbeza untuk mempermudahkannya (pemahaman digital media),” kata beliau.

 

Dr Maliki turut menyentuh tentang perlunya masyarakat memahami peranan politik antarabangsa dalam konflik yang berlaku di Iraq dan Syria, sambil berkata bahawa apa yang berlaku di sana adalah soal politik dan bukan agama.

 

“Hakikatnya, dalam hubungan antarabangsa, negara kecil boleh dikuasai pengaruh negara besar. Itulah politik antarabangsa,” kata beliau.

 

“Kita tidak pernah berbincang tentang peranan politik antarabangsa dalam usaha memahami apa yang berlaku di dunia. Ini amat penting kerana kita perlu faham peranan negara besar seperti Iran dan Russia di Syria dan Iraq.

 

“Pada akhirnya kita mungkin akan menyedari bahawa Islam bukan isunya. Ia tentang kuasa. Ia tentang politik. Namun, jika orang ramai tidak memahami dinamik ini, mereka akan berfikir (konflik itu) adalah tentang jihad,” tambah beliau.

bottom of page