top of page

WATCH

in the news

Makan di kedai kebab selamatkan pemuda daripada menjadi pengganas

Irma Kamarudin, Berita Harian

2 May 2018

KEDAI kebab menjadi antara penentu dalam kehidupan Teuku Akbar Maulana yang menyelamatkan beliau daripada terjebak dalam kancah pengganasan di Syria dua tahun lalu.

 

Ketika itu, pemuda dari Aceh, Indonesia, itu sedang dalam perjalanan ke sempadan Turkey-Syria apabila beliau menemui seorang jejaka di kedai kebab itu.

 

“... kerana takdir Ilahi, saya bersua sama orang yang saya tidak sangka sebelum berangkat. Ada warung kebab... dan ada orang yang saya temui. Dia tanya, dari Indonesia?

 

“Saya jawab, ‘Iya pak’. Dia tanya, sudah makan belum? Saya kata, ‘Belum pak’. Dia ajak makan sama-sama... Sesudah makan dia tanya, ‘Awak nak ke mana?’ (Saya kata) Saya mahu ke sempadan pak. Saya cakap ke Syria. Beliau terkejut dan ceritakan apa yang jadi di sana, seperti propaganda politik,” kata Encik Akbar, 19 tahun.

 

Encik Akbar mengongsi pengalamannya hampir menjadi militan ISIS di Syria dalam satu sesi dialog selepas tayangan dokumentari Jihad Selfie – yang memaparkan sebab remaja Indonesia, termasuk Encik Akbar, menjadi radikal – terbitan pakar pengganasan, Encik Noor Huda, di Galeri Harmoni dalam Kepelbagaian di bangunan Kementerian Pembangunan Negara baru-baru ini.

 

Dianjurkan Berita Harian dan disokong Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), sesi dialog itu turut disertai Menteri Negara Kanan (Pertahanan me- rangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, selain Encik Akbar dan Encik Noor Huda.

 

Sebahagian dokumentari yang ditayangkan itu menceritakan bagaimana Encik Akbar mula rapat dengan rakan bernama Yazid yang merupakan pejuang ISIS di Syria.

 

Encik Akbar, seorang pelajar cemerlang yang sedang belajar di Turkey, mula tertarik menyertai kumpulan militan itu setelah melihat gambar-gambar yang dimuat naik Yazid di media sosial.

 

Menjelaskan lanjut semasa sesi dialog itu, Encik Akbar mengongsi bahawa antara sebab beliau tertarik menyertai ISIS adalah kerana beliau mula berasa bosan dengan pelajaran di sekolah, sedang mencari identiti dan tujuan yang lebih bermakna dalam kehidupannya, dan ingin kelihatan sebagai seorang lelaki yang gagah dan cool.

 

“Selepas abang Yazid ambil gambar pegang senjata AK47 dan muat naik ke Facebook, posnya disukai oleh orang, banyak dikomen oleh ukhti (panggilan untuk saudari dalam bahasa Arab). Mereka kata Yazid nampak seperti lelaki gagah (manly) dan cool.

 

“Kami di sini (dalam hati) sakit, cemburu. Kami juga mahu kelihatan seperti lelaki gagah iaitu kelelakian kalau disebut dalam istilah bahasa Indonesia… Waktu abang Yazid di sana, ada banyak slogan dalam gambar, video mereka (iaitu) ‘Ini adalah tanah lelaki’. Jadi, waktu itu dianggap bukan lelaki kalau tak ke sana. Inilah namanya doktrin,” kata beliau.

 

Namun mujur, Encik Akbar terselamat daripada keputusannya menyertai ISIS dek beberapa faktor.

Selain menemui jejaka di kedai kebab itu, kasih sayang mendalam terhadap ibu bapanya dan pemikiran kritikalnya yang menyoalkan sama ada pemahaman jihadnya itu adalah benar, turut menjadi penyelamatnya.

Sebelum menyeberang sempadan, Encik Akbar telah menghubungi Yazid menerusi media sosial untuk bertanya sama ada jihad boleh dilakukan tanpa adanya keizinan ibu bapa terdahulu.

 

Yazid kemudian memberi beliau satu laporan yang mengatakan berjihad tanpa izin orang tua diperbolehkan, dengan artikel itu turut disertakan ayat Al-Quran dan erti serta tafsirannya yang menyokong kenyataan itu.

Namun, laporan itu tidak dapat meyakinkan Encik Akbar.

 

“Saya fikir, ini betulkah? Jika orang tua tidak reda, apakah jihad itu benar? Saya tak mahu buat orang tua saya menangis dan bersedih. Saya cari di Internet.

 

“Ada satu hadis itu yang menceritakan ada pemuda pada zaman Nabi Muhammad saw dan dia tanya, ‘Ya Nabi, saya ingin jihad bersamamu’. Nabi tanya pemuda itu sama ada dia ada orang tua. Pemuda itu jawab, ‘iya’. Nabi kemudian berkata kepada pemuda itu agar kembali kepada orang tuanya dan berbakti kepada mereka.

 

“Semua orang pasti tidak mahu buat orang tuanya menangis dan pasti mahu buat orang tuanya bangga. Saya tidak mahu buat orang tua saya menangis,” kata beliau.

 

Tambah Encik Akbar lagi, sokongan para guru dan mentor juga amat penting dalam membantu anak muda seperti dirinya daripada terpengaruh dengan ideologi radikal.

 

Beliau pernah bertanya seorang syaikh yang berasal dari Syria, mengapa beliau tidak kembali ke negaranya untuk berjuang. Namun, syaikh itu menjelaskan kepadanya bahawa apa yang diperjuangkan di sana adalah perang propaganda politik dan tiada kaitan dengan agama.

 

“Dia menjelaskan sana tidak baik. Mereka tidak ngomong dalil tapi ngomong propaganda di sana. Guru itu tidak ingin nyawanya habis sia-sia untuk benda tidak benar dan mahu amalkan ilmu di Turkey.

 

“Ya, mungkin apa yang saya belajar adalah untuk merendah diri. Saya pergi ke guru dan mereka tak menyalahkan saya. Mereka bukan hanya mengajar tetapi mengongsi juga,” kata Encik Akbar.

bottom of page