WATCH
in the news
DIALOG ANTARA AGAMA: Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas (berdiri, kanan), turut hadir di dialog anjuran CDC South East yang membincangkan hubungan antara muzik dengan agama. Duduk di pentas ialah Dr Maliki (dua dari kiri) bersama penceramah, Dr Larry Francis Hilarian, Profesor Madya Muzik daripada NIE-NTU (kiri); Cik Lalitha Vaidyanathan, konduktor Orkestra dan Koir India di bawah Bakat PA (dua dari kanan); dan Encik Shiu Lixin daripada Misi Tao Singapura (kanan). – Foto JAEDEN NG
Maliki: Fahami muzik setiap agama boleh wujudkan masyarakat harmoni
Ervina Mohd Jamil, Berita Harian
1 May 2017
PEMAHAMAN dan penghargaan lebih mendalam tentang erti muzik dalam setiap agama boleh mewujudkan masyarakat lebih harmoni dan toleran, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian selepas satu dialog antara agama, Pop up the soul - Enchanting Tunes, di Sekolah Tinggi Dunman kelmarin.
Dialog itu membincangkan hubungan antara muzik dengan agama dalam konteks silang agama. Dr Maliki berkata bahawa dalam konteks pemahaman antara agama, orang ramai harus memahami erti muzik tertentu bagi suatu kumpulan agama.
Ini kerana sedang sesetengah pihak menganggapnya sebagai muzik, orang lain pula mungkin menganggapnya sebagai bunyi bising.
Beliau memberi contoh bagaimana pukulan dram dalam acara keagamaan seperti Thaipusam misalnya, dianggap bising bagi sesetengah pihak.
Namun, menurut salah seorang penceramah yang bercakap di dialog itu, Cik Lalitha Vaidyanathan, yang merupakan konduktor Orkestra dan Koir India di bawah Bakat Persatuan Rakyat (PA), rentak pukulan dram itu sebenarnya bertujuan memberi sokongan kepada penganut agama Hindu yang membawa kavadi - struktur besi dengan jarumnya dicucuk ke tubuh pembawanya - dalam perayaan itu serta mengurangkan kesakitan yang dirasai.
Dr Maliki menambah: "Kami ingin... meningkatkan kesedaran orang ramai dan dengan cara ini, kita dapat mengurangkan rasa negatif dan meningkatkan tahap perpaduan di kalangan masyarakat.
"Dengan pemahaman lebih mendalam, diharapkan mereka juga akan mengubah tanggapan mereka bahawa ia bunyi bising dan menghargai serta menerimanya dengan lebih baik."
Dialog itu merupakan yang keenam dan terakhir dalam siri Common Senses for Common Spaces anjuran CDC South East.
Selain Cik Lalitha, dialog itu turut menampilkan dua lagi penceramah - Profesor Madya Muzik daripada Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang (NIE-NTU), Dr Larry Francis Hilarian, yang menghasilkan tesis Doktor Falsafah (PhD) mengenai muzik, Islam dan alat muzik gambus dalam masyarakat Melayu/Islam di Asia Tenggara, serta Encik Shiu Lixin yang menerajui sayap belia Misi Tao (Singapura).
Dialog itu dihadiri 240 orang termasuk Duta Kelana, Encik Ong Keng Yong; Konsul Jeneral Oman ke Singapura, Encik Zakariya Hamed Hilal Al-Saadi; serta anggota Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC), aktivis, karyawan dan pelajar.
Siri dialog Common Senses for Common Spaces bertujuan membolehkan orang ramai memahami agama daripada aspek berbeza seperti muzik, warna, amalan berpuasa dan lain-lain.
Meskipun siri itu sudah berakhir, beberapa hadirin di sesi dialog kelmarin meminta agar ia dapat diteruskan.
"Ini menunjukkan bahawa mereka ingin terus berusaha mewujudkan Singapura yang lebih harmoni dan aman untuk diwariskan kepada anak mereka.
"Kami akan meninjau bagaimana memperluas usaha ini," kata Dr Maliki.