WATCH
in the news
Maliki lancar siri dialog ketengah persamaan di balik perbezaan agama
Norhaiza Hashim, Berita Harian
15 November 2016
KOTA Baitulmakdis menempatkan Masjid Al-Aqsa, rumah ibadah ketiga paling suci dalam Islam.
Bagi penganut agama Kristian, bandar itu juga menempatkan Gereja Holy Sepulchre, tapak yang mereka percayai sebagai tempat Nabi Isa disalib.
Bagi penganut agama Yahudi pula, ia merupakan lokasi Tower of David dan Tembok Ratapan.
Agama mereka berbeza tetapi penganut itu beribadah di bandar yang sama di Baitulmakdis.
Persamaan di sebalik perbezaan agama itulah yang ingin ditonjolkan dalam siri dialog antara agama, Common Senses for Common Spaces, yang dilancarkan Jumaat lalu oleh Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pertahanan), Dr Mohamad Maliki Osman.
Tokoh agama seperti mantan Mufti Syed Isa Semait, Sister Janet Wang (Kristian), Encik Gurmit Singh (Sikh) dan Reverend Dr K Gunaratana (agama Buddha) mengongsi tempat-tempat beribadah di dunia yang dikunjungi para penganut pelbagai agama di Singapura dalam sesi pertama dialog bertajuk Sacred Rendezvous.
Ketika ditemui, Dr Maliki berkata wadah itu diperkenal bagi membolehkan rakyat Singapura memahami perbezaan dalam agama.
"Ramai daripada kita sedar akan perbezaan itu tetapi kita tidak bercakap mengenainya. Dalam kepelbagaian itu juga sebenarnya terdapat persamaan dari segi nilai keharmonian dan keperibadian yang ingin ditonjolkan penganutnya. Dengan menonjolkan persamaan itu, diharap ia dapat mengukuhkan ikatan antara kaum di Singapura," jelas Dr Maliki.
Satu laporan Kepelbagaian Agama Sejagat meletakkan Singapura sebagai sebuah negara paling pelbagai dari segi agama berbanding 232 negara lain.
"Kepelbagaian merupakan satu kekuatan jika dipupuk dengan betul. Tetapi, jika ia dibiarkan, tidak diendahkan dan disalah guna, ia akan menjadi satu bencana. Sekitaran berbilang agama di Singapura harus sentiasa dipantau, dipupuk, serta keyakinan dan kepercayaan diperkukuh di kalangan rakyat berbilang agama di sini," katanya.
Mesej itu sejajar dengan gerakan nasional SG-Secure yang dilancarkan September lalu agar setiap rakyat Singapura memainkan peranan berwaspada terhadap ancaman pengganas, kekal bersatu sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama, dan teguh sebagai satu rakyat dalam berdepan dengan krisis.
Dalam acara itu, para tetamu berpeluang mencuba perjalanan interaktif realiti alam maya (VR) yang membolehkan mereka ke tempat-tempat beribadah di dunia seperti ke Makkah, Baitulmakdis, Vatican dan Amritsar.
Dr Maliki, yang baru pulang dari lawatan rasmi ke Timur Tengah dan Afrika minggu lalu, telah ke Baitulmakdis dan beliau mempelajari betapa latar belakang agama tersebut saling berkait. "Sesuatu yang saya pelajari dalam lawatan itu ialah kunci ke Gereja Holy Sepulchre dipegang dua keluarga Muslim di sana dan ia merupakan tanggungjawab mereka membuka dan menutup gereja tersebut setiap hari. Apa yang menarik ialah ia merupakan satu warisan lebih 800 tahun sejak 1187 Masihi," kongsi beliau.