WATCH
in the news
Pemimpin agama kongsi erti amalan puasa
Farah Mohd Rezal, Berita Minggu
19 June 2016
PEMIMPIN agama berkumpul di satu wadah semalam untuk berkongsi erti dan sebab-sebab amalan puasa masing-masing.
​
​
Sesi dialog antara agama 'Common Senses For Common Spaces' itu diadakan di Hotel Furama City Centre.
​
Dialog itu bertujuan mengalak pemahaman mendalam tentang amalan berbilang agama dengan matlamat ia boleh memupuk keharmonian sosial.
​
Panel yang hadir merupakan pemimpin agama iaitu Imam Habib Hassan Al-Attas yang mewakili agama Islam; Master Chin Kung yang mewakili agama Buddha; dan Bishop Terry Kee yang mewakili agama Kristian.
​
Walaupun usul pengertian berpuasa berbeza, matlamatnya sama bagi agama Islam, Buddha dan Kristian, iaitu untuk mencapai kesucian di dalam hati dan minda.
​
Ketetiga pemimpin memberi perspektif makna berpuasa dalam agama tersendiri dan kesemua berkata berpuasa itu lebih daripada menghindari makan dan minum.
​
Menurut mereka, puasa merupakan satu ibadah di mana individu harus mengelak daripada melakukan kejahatan dan sebaliknya melakukan kebaikan.
​
"Kita perlu berhati-hati akan kelakuan kita, percakapan kita dan apa yang ada dalam fikiran kita," kata Master Chin Kung.
​
Beliau berkata individu harus berusaha mengurangkan keinginan melakukan perkara negatif.
​
Imam Habib Hassan memberi rumusan tentang erti berpuasa dalam agama Islam dengan merujuk kepada ayat Al-Quran.
​
"Tiada psikologi lebih asas dalam kehidupan daripada melawan diri daripada melakukan sesuatu perkara yang buruk," ujar Imam Habib Hassan.
​
Bishop Terry Kee pula berkata: "Puasa menguatkan tekad kami untuk mengatasi godaan, sekali gus meningkatkan kawalan diri dan nafsu kita."
​
Selain itu, panel juga menekankan erti usaha ketika berpuasa.
​
"Saya rasa panel di sini setuju bahawa untuk menjalankan ibadah berpuasa sebenar tidak susah, tetapi individu itu harus berusaha dan mendisiplinkan diri," kata Bishop Terry Kee.
​
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, hadir memberikan ucapan di akhir sesi dialog itu.
​
"Amalan berpuasa bagi setiap agama menekankan kepentingan nilai-nilai seperti disiplin diri, sikap rendah hati dan sifat belas terhadap orang lain," ujar Dr Maliki.
​
Seramai 200 tetamu daripada berbilang agama hadir di sesi itu termasuk ahli Pertubuhan Antara Agama (IRO).
​
Pada akhir sesi dialog, panel dan tetamu yang hadir berbuka puasa bersama Encik Maliki serta masyarakat Islam yang hadir.
​
Sesi dialog ini dianjurkan Corporate Citizen Foundation, Furama City Centre, Masjid Ba'alwie, Pertubuhan Berbilang Bangsa Antarabangsa (International Multi-Cultural Organisation) dan disokong Berita Harian dan syarikat HSL Constructor.