WATCH
in the news
Hubungan bangsa, agama terancam jika tidak ditangani dengan
hati-hati
Farid Hamzah, Berita Harian
10 June 2018
WARGA Singapura perlu melakukan lebih daripada apa yang ditinggalkan warga perintis negara ini dengan bertambahnya cabaran pengganasan dan sifat eksklusif yang lebih rumit, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamed Maliki Osman.
Sedang penduduknya menikmati kehidupan bersama yang aman, pengganasan terkini yang berulang di rantau ini mengingatkan orang ramai bahawa hubungan bangsa dan agama masih boleh terjejas jika tidak ditangani secara teliti, berwaspada dan sentiasa diingatkan secara kerap.
Menyatakan demikian dalam sesi dialog antara agama 'Common Senses for Common Spaces (CSCS)' semalam, Dr Maliki berkata sejak mencapai kemerdekaan, dasar dan sistem negara ini dengan sengaja direka bagi memastikan penduduk yang berbilang kaum dan agama sentiasa bergaul.
"Sejauh ini, sebagai sebuah negara, kita telah mencapainya.
"Tetapi, dengan bertambahnya kejadian pengganasan, radikalisme, ekstremisme dan sifat eksklusif yang semakin mendalam dan rumit pada peringkat setempat, serantau dan sejagat, kita perlu lakukan lebih banyak daripada apa yang ditinggalkan warga perintis kita.
"Antaranya, kita perlu waspada dengan mengekalkan sikap sedar tentang sekitaran; konsisten untuk meneruskan usaha melengkapi diri kita pada semua peringkat; kreatif dengan mencari cara baru bagi penglibatan masyarakat yang berkesan; membina dengan menambah nilai kepada program atau usaha sedia ada; dan membina platform serta rakan kerjasama," kata Dr Maliki, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Southeast.
Acara yang diusahakan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Southeast dengan kerjasama empat CDC lain itu, disokong Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) dan dianjurkan Wise SG.
Ia dihadiri lebih 200 peserta yang berpeluang bertukar sumber dan rahsia berpuasa mengikut kepercayaan masing-masing.
Antara yang hadir termasuk duta dan diplomat dari tujuh negara; Timbalan Pengerusi Eksekutif Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) dan Duta Ong Keng Yong; pemimpin dan aktivis berbilang agama; kakitangan awam kanan serta profesional sektor swasta, selain ahli akademik dan pelajar.
Dalam majlis itu, empat penceramah daripada pelbagai agama menyampaikan taklimat tentang erti berpuasa mengikut kepercayaan masing-masing.
Mereka terdiri daripada kakitangan awam, Cik Teh Yi Ying (Kristian); asatizah Ustaz Fathurrahman Dawoed (Islam); konsultan jagaan pesakit dengan penyakit kritikal, Dr Neo Han Yee (Buddha); dan pakar fisioterapi, Cik Thilaga Govendasamy (Hindu).
Dalam acara yang berlangsung di Madrasah Wak Tanjong itu, hadirin juga beriftar sama.