WATCH
in the news
Dialog bincang kepentingan makanan sebagai pengukuh hubungan kaum
Atiyyah Mohd Said, Berita Harian
7 August 2016
PERANAN dan prinsip tentang makanan dalam setiap agama utama di Singapura telah dibincangkan dalam satu dialog antara agama dalam usaha meningkatkan pemahaman mengenai agama di negara ini.
Dialog anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Tenggara yang diadakan di Maktab Randah Nanyang itu mengetengahkan empat karyawan perubatan yang menganut empat agama berbeza – Islam, Hindu, Kristian dan Buddha.
Dalam merumuskan ceramah masing-masing, para penceramah telah bersetuju bahawa makanan adalah alat penting yang menyepadukan masyarakat, terutama di sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Singapura.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pertahanan), Dr Mohamed Maliki Osman, berkata mesej penting yang ingin disampaikan dalam dialog itu ialah interaksi harian adalah penting dalam usaha mengukuhkan hubungan antara kaum, dan permakanan adalah sebahagian daripadanya.
"Misalnya, seorang itu akan bertanya, 'Boleh tak saya makan dengan kawan yang mempunyai keperluan makanan berbeza atau perlukah saya sentiasa mengikut keperluannya?'
"Ini meninggalkan kesan kepada hubungan yang kita bina. Dalam usaha mengukuhkan hubungan antara kaum, kita harus memahami aspek kehidupan ini yang dianggap remeh, tetapi sebenarnya mempunyai makna mendalam dan kadang kala kita ambil ringan sedangkan ia menjejas cara kita berinteraksi dengan satu sama lain,” kata Dr Maliki yang juga mayor CDC Tenggara.
Menurut Pengarah Perubatan Persatuan Barah Singapura (SCS), Dr Ong Yew Jin, yang membentangkan tentang konsep makanan dalam agama Katolik, makanan atau budaya makan dalam setiap agama mencerminkan amalan dan tabiat makan dalam sesebuah keluarga, sekali gus menunjukkan bahawa ia boleh menjadi tali pengikat hubungan antara masyarakat.
Dalam ceramahnya, Konsultan Kanan di Hospital Besar Ng Teng Fong, Dr Norhisham Main, pula telah memberikan penjelasan mengenai konsep halal dalam Islam serta menerangkan tentang jenis makanan yang dianjurkan dalam agama Islam seperti kurma dan madu.
“Banyak persamaan sebenarnya yang dikongsi tentang makanan mahupun budaya pemakanan oleh semua agama utama di negara ini yang boleh kita ambil contoh dan hargai bersama .
"Misalnya, semua agama mempunyai doa sebelum dan selepas makan. Selain itu, setiap agama juga mempunyai jenis-jenis makanan yang boleh menimbulkan emosi atau keadaan tertentu contohnya kurma dianggap makanan yang sangat berkhasiat dan memberi sumber tenaga yang sangat baik,” jelas Dr Norhisham.
Dialog itu, yang turut dihadiri oleh ketua agama lain termasuk imam Masjid Ba'alwie, Habib Hassan Al-Attas, merupakan antara 50 inisiatif sesi penglibatan yang dianjurkan oleh CDC Tenggara bagi tiga tahun mendatang.