



WATCH
in the news

Menghargai kepelbagaian di kalangan masyarakat SG
APABILA rakan kerja atau kawan berkongsi makanan di atas meja yang sama, adakah seorang Muslim berasa kurang selesa jika ada yang makan daging babi? Bagaimana pulakah apabila seorang 'vegetarian' yang tidak makan daging mendapati ada makanan yang dihidang mengandungi daging? Atau seorang Hindu mendapati terdapat daging lembu dihidangkan di meja tersebut?
Persoalan itu diutarakan oleh Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pertahanan), Dr Maliki Osman, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Southeast, dalam suatu perbincangan Pertukaran Antara Kepercayaan bertajuk Kita Adalah Apa Yang Kita Makan baru-baru ini.
Menjawab persoalan itu juga dengan pertanyaan, Dr Maliki berkata:
"Adakah kita akan menjauhkan diri daripada menyertai sesi makan itu hanya kerana sesetengah makanan itu termasuk dalam makanan yang kita disyaratkan tidak boleh makan? Adakah Muslim akan menghindari daripada menghadiri acara di hotel yang menyediakan alkohol? Adakah seorang Hindu akan menghindari daripada menyertai jamuan perkahwinan orang Melayu hanya kerana terdapat lauk rendang lembu dalam menu bufet mereka? Apakah bendul penghalang toleransi dan penyesuaian kita?".
Forum yang dihadiri sekitar 200 perserta itu dianjurkan bersama oleh CDC Southeast,kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) dengan disokong Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Dr Maliki berkata dengan kerap menekankan pentingnya kebersamaan, ia boleh sangat membantu dalam mengurangkan perbezaan, justeru akan meningkatkan penghargaan bagi kepelbagaian dan ini akan dapat mengurangkan risiko bagi konflik.
"Kita mesti dengan konsisten menyedari tentang amalan-amalan dalam ruang kebersamaan...dalam tempat-tempat awam umum, tempat-tempat makan, kawasan berdekatan tempat ibadah dan seumpamanya.
"Dan berapa besar ruang kebersamaan ini yang dapat kita berkongsi sama? Berapa banyak hal yang boleh masuk di akal, dan kewajaran, perlu digunakan bagi memastikan suatu kewujudan bersama yang bermanfaat dan harmoni?" ujar beliau.
Dr Maliki berkata dengan komposisi pelbagai agama dan budaya terhimpit dalam kawasan tanah yang sangat terbatas, dan dengan isu-isu seperti pengganasan, pemikiran ekstrem dan eksklusif serta diskriminasi, di manakah daya tahan masyarakat sebagai warga Singapura?
Beliau menjelaskan bahawa banyak usaha telah dilakukan oleh permerintah bagi mengukuhkan langkah-langkah keselamatan dari segi struktur dan sistem. Para pemimpin agama daripada pelbagai agama di Singapura telah tampil dan secara kolektif mengutuk tindakan pengganasan dan ekstremisme.
"Namun bagaimana kita, sebagai orang kebanyakan dan warga biasa - sama ada sebagai ibu bapa, adik beradik, saudara-mara, kawan sekerja, jiran, majikan dapat memainkan peranan dalam menyumbang kepada satu perpaduan yang pelbagai?" tambah beliau.