WATCH
in the news
CDC North West lancar siri dialog silang agama
September 27, 2018
MAJLIS Pembangunan Masyarakat (CDC) North West telah melancarkan siri dialog silang agama yang merupakan sebahagian program 'Common Senses for Common Spaces (CSCS)' baru-baru ini.
Dinamakan Foundation of Faiths - Siri Dialog Antara Agama CSCS @ North West, program itu bertujuan memupuk dan meningkatkan pengetahuan serta pemahaman tentang pelbagai agama berbeza di kalangan anggota Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC), pemimpin akar umbi dan rakan kerja masyarakat.
Semasa menghadiri sesi dialog itu baru-baru ini, Mayor Daerah North West, Dr Teo Ho Pin, berkata dengan jumlah orang ramai yang menggunakan media sosial kian bertambah, orang ramai juga lebih terdedah dan lebih mudah terpengaruh dengan tafsiran doktrin yang tidak tepat atau bersifat pelampau daripada landskap, sejarah, budaya dan cabaran yang berbeza.
"Pemerintah telah menjalankan banyak usaha meningkatkan langkah keselamatan dari segi struktur dan sistem.
"Pemimpin agama juga telah berganding bahu dan tampil mengecam perbuatan pengganasan dan radikal serta fahaman pelampau bersama.
"Namun, bagaimana kita sebagai rakyat biasa - baik sebagai ibu bapa, adik-beradik, rakan kerja, jiran mahupun majikan - dapat memainkan peranan masing-masing bagi menyumbang kepada sebuah masyarakat yang padu?" kata Dr Teo.
Tambahnya, satu cara untuk melakukan demikian adalah dengan berusaha meningkatkan kesedaran diri dan memahami tentang pelbagai agama yang wujud.
Selain itu, adalah penting juga untuk mewujudkan wadah bagi warga Singapura memahami dan menghargai perbezaan satu sama lain dengan lebih baik menerusi perbincangan dan pertukaran yang ikhlas dan terus-terang.
Oleh itu, Dr Teo berkata sesi dialog seperti yang dihadirinya itu dapat menyediakan wadah bagi memupuk persefahaman dan menjawab segala kemusykilan warga.
Semasa sesi dialog itu, tiga pemimpin agama turut berkongsi tentang agama masing-masing serta menjawab pelbagai salah tanggapan tentang agama mereka.
Mereka adalah Ustaz Ashraf Anwar, seorang penyelidik dan penganalisa perniagaan di sebuah firma perundingan setempat; Venerable Shi You Guang, Presiden Samantabhadra Vihara dan Naib Pengerusi (Ehwal Am) Persekutuan Buddha Singapura (SBF) serta Encik Ashish Patangiya yang kini bekerja di sebuah bank di sini.
Sesi itu turut disertai moderator Dr Norhisham Ma'in, konsultan kanan perubatan geriatrik dan paliatif di Hospital Besar Ng Teng Fong.