Copyright © 2019 WISEsg. All rights reserved.

WATCH

in the news

Dua pakar S'pura, Indonesia bincang usaha kekang fahaman ekstrem

Berita Harian

24 March 2018 

DUA individu dari Indonesia dan Singapura yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing telah berkongsi pentas di satu bengkel untuk membincangkan usaha mengekang pengganasan dan fahaman ekstrem di Indonesia.

Dengan fahaman atau ideologi ekstrem yang kian berleluasa di ruang siber, pakar pengganasan dari Indonesia, Encik Noor Huda Ismail, menyeru agar pendekatan baru, atau naratif alternatif, dapat diguna dan disebarkan dengan cara konstruktif, kreatif dan efektif oleh aliran utama masyarakat Islam, terutama daripada golongan asatizah.

“Usaha pendekatan dari segi alternatif narratif ini berbeza daripada naratif balas, iaitu ianya tidak bertembung untuk membidas atau mengekang fahaman ekstremisme yang terdapat di ruang siber.

“Malah, ia memberi penyampaian alternatif yang menitikberatkan  ciri-ciri Islam yang berasaskan kesederhanaan, kesejahteraan dan keihsanan dari kitab Al-Qur’an, hadis dan sejarah.

“Ini diharapkan agar pengguna dan pengunjung ruang siber, baik Islam mahupun yang bukan Islam, dapat berpeluang untuk lebih kenal dan mesra dengan ajaran Islam yang aman dan inklusif, tanpa gangguan perhatian dan kebingungan daripada fahaman ekstremisme”, ujar Encik Noor Huda.

Bengkel tiga hari yang dianjurkan Yayasan Prasasti Perdamaian (YPP) di Jakarta minggu lalu, dihadiri kira-kira 30 peserta yang termasuk bekas aktivis pengganasan serta golongan asatizah yang mewakili dua pertubuhan Islam terbesar di Indonesia — Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah.

Bekas aktivis pengganasan itu merupakan individu yang menyertai kumpulan pengganas di negara seperti Syria.

Mereka diberkas sekembalinya ke Indonesia, dipenjara dan telah berjaya menyempurnakan proses pemulihan, sekali gus dinilai sebagai tidak lagi memiliki fahaman ekstrem yang mampu menggugat keselamatan.

Sementara itu, aktivis bantuan kemanusiaan dari Singapura, Encik Hassan Ahmad, telah berkongsi pengalamannya dan menyumbang cadangan bagaimana masyarakat Islam, terutama dari Indonesia, dapat berkhidmat bagi memperbaiki taraf hidup mereka — sama ada berpuncadaripada kemiskinan atau yang dilanda bencana alam.

Encik Hassan pernah menerajui tiga badan kemanusiaan — Mercy Relief, Lien Aid dan Yayasan Warga Korporat (CCF) sepanjang tempoh lebih sedekad dari 2003 hingga 2016 selain bertindak sebagai konsultan dasar bagi agensi-agensi termasuk Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) dan Asean.

Dalam penyampaiannya, Encik Hassan menyarankan agar usaha kemanusiaan melibatkan sukaralewan dan memanfaatkan penerima bantuan, tanpa mengira agama, kaum atau bangsa. 

“Ini boleh menjadi sebuah wadah bagi bekas aktivis pengganasan untuk menyalurkan semangat pejuangan mereka daripada jihad yang berasaskan senjata, pengganasan dan kemusnahan, kepada jihad yang berasaskan keihsanan, kesejahteraan dan pembangunan,” ujar beliau.

Di akhir bengkel itu, para peserta dan penganjur bersetuju supaya sebuah badan kemanusiaan dibentuk sebagai wadah kerjasama untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan sambil menyebarkan syiar Islam yang sebenar iaitu kesejahteraan, keihsanan dan keikhlasan.

Pihak YPP bersama Encik Noor Huda dan Encik Hassan akan membantu mereka untuk menubuhkanbadan kemanusiaan tersebut, dan lebih penting lagi, melatih ahli dan sukaralewan mengenai prinsip, falsafah dan mekanisme berkaitan dengan kerja kemanusiaan selari dengan taraf antarabangsa.