top of page

WATCH

in the news

Captur3e.PNG

Presiden Halimah gesa pupuk ikatan utuh antara berbilang kaum, agama

Nur Fathin Awalludin, Berita Harian 

4 December 2018

ADALAH penting untuk tidak mudah terpengaruh oleh naratif yang bersifat memecah-belah kerana ia akan menerapkan prasangka buruk dalam masyarakat.

Malah lebih dari itu, penting bagi kita memupuk ikatan yang utuh antara anggota masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Demikian diingatkan Presiden Halimah Yacob semalam dalam ucapannya kepada lebih 150 hadirin di acara pelancaran Faithfully Asean di Teater Pusat Drama Singapura di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

"Penting bagi kita membina ikatan yang kuat antara pelbagai masyarakat agar kita dapat bersatu-padu dan berdiri bersama di saat genting seperti krisis," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan pentingnya mewujudkan kepelbagaian yang boleh dijadikan kekuatan jika digunakan dengan betul.

Memberikan contoh, Puan Halimah berkata kepelbagaian membolehkan penjanaan pelbagai idea dan kepercayaan dalam agama masing-masing.

Ia sekali gus boleh menjadi penyatu.

Puan Halimah hadir sebagai tetamu terhormat di acara program silang agama serantau yang diadakan buat kali pertama itu.

Acara tersebut dianjurkan Temasek Foundation Cares (TFC), Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) dan Wise SG.

Faithfully Asean merupakan program pertukaran silang agama yang berlangsung dari 3 hingga 6 Disember 2018.

Ia mengambil pendekatan praktikal dan membina sambil menekankan persamaan yang wujud dalam kepelbagaian untuk membantu meningkatkan hubungan antara golongan berlainan bangsa dan agama.

Di samping itu, satu sesi perkongsian Common Senses for Common Spaces (CSCS) yang membincangkan tentang pemakanan dan diet dari sudut pandangan agama berbeza turut diadakan.

Dipengerusikan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar) yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Dr Mohamad Maliki Osman, sesi perkongsian itu membincangkan isu seperti mengapa penganut sesetengah agama tidak memakan daging dan sama ada penganut agama yang berbeza boleh makan semeja bersama.

Aktivis dan pengamal agama yang berlainan dari pelbagai negara Asean turut hadir di acara semalam.

Menyentuh kepentingan adanya dialog dan perbualan silang agama seperti itu, Puan Halimah berkata:

"Dialog tentang isu sensitif seperti yang menyentuh bangsa dan agama memainkan peranan penting dalam membina sifat saling menghormati dan kepercayaan antara masyarakat.

"Dialog yang konstruktif merupakan asas untuk memupuk persefahaman, penghormatan dan kepercayaan.

"Ini merupakan asas kepada masyarakat yang padu serta Asean yang bersatu."

Sehubungan dengan itu, Singapura bakal menjadi tuan rumah kepada persidangan antarabangsa bagi perpaduan sosial dan keharmonian silang agama.

Ia diharapkan menjadi wadah bagi perkongsian pengalaman berbeza, pembangunan idea dan menunjukkan komitmen bersama terhadap perpaduan yang lebih mendalam dalam masyarakat.

bottom of page