top of page

WATCH

in the news

Captur4e.PNG

Penting Asean berinteraksi secara konsisten dan membina: Maliki

Berita Harian

7 December 2018

WALAUPUN setiap negara anggota Asean mempunyai kepelbagaian, ia amat penting bagi negara itu berinteraksi secara konsisten dan membina antara negara rantau ini.

Ini diperlukan bagi memahami lebih mendalam antara satu sama lain dan mengeratkan hubungan selain menghindar daripada segala halangan atau unsur yang memecahbelahkan.

Demikian kata Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Dr Mohamad Maliki Osman, dalam ucapannya pada majlis penutup acara 'Faithfully Asean' di Hotel Furama Riverfront, semalam.

"Setiap negara unik dan kita mempunyai tahap dan cara berbeza dalam memaparkan kepelbagaian ini - daripada segi budaya, nilai, demografi, sejarah dan lain-lain.

"Namun, kepelbagaian inilah yang dapat menyatukan kita dan bukan memecahbelahkan.

"Justeru, penting bagi kita sentiasa berinteraksi secara konsisten dan membina. Ini merupakan satu perjalanan berterusan yang sukar dan akan kekal, tetapi jika dilakukan dengan bijak dan penuh keikhlasan, ia boleh menjadi sesuatu yang amat memuaskan, memperkaya dan menimbulkan rasa gembira," katanya.

Dalam acara yang dihadiri 150 peserta, Dr Maliki juga mempengerusikan satu sesi dialog penutup 'Common Senses for Common Spaces (CSCS)' yang membincangkan tentang tempat-tempat suci pelbagai agama, yang sebahagiannya mengongsi tempat yang sama, contohnya, Baitulmaqdis.

Tajuk yang dibincangkan dalam sesi dialog yang bertajuk 'Pertemuan Suci' (Sacred Rendezvous) bertujuan mengenal pasti persamaan antara agama, selain mengongsi nilai-nilai dan kebaikan yang sama seperti menerusi ibadah ke tempat suci serta amalan harian yang serupa.

'Faithfully Asean' merupakan program pertukaran silang agama yang berlangsung dari 3 Disember hingga semalam dan telah dilancarkan oleh Presiden Halimah Yacob.

Acara program silang agama serantau yang diadakan buat julung kalinya itu dianjurkan oleh Temasek Foundation Cares (TFC), Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) dan Wise SG.

Ia mengambil pendekatan praktikal dan membina sambil menekankan persamaan yang wujud dalam kepelbagaian demi membantu meningkatkan hubungan antara golongan berlainan bangsa dan agama.

Lantaran itu, Dr Maliki melahirkan harapan agar program sedemikian dapat diteruskan pada masa hadapan.

"Saya berharap TFC dan rakan kongsi yang lain akan terus memacu program 'Faithfully Asean' ini dan membawa lebih ramai peserta untuk menyertai platform kreatif, membina, indah dan mulia ini bagi sesi dialog dan pertukaran inisiatif sedia ada selain meneroka kerjasama untuk membantu meningkatkan kesefahaman, penghargaan dan bantuan serantau," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap peserta yang mengikuti acara itu dapat membawa pulang pengalaman dan pengajaran yang berharga.

Beliau berkata: "Kepada peserta dari negara Asean kita, saya harap anda mendapati program ini sangat memperkaya dan bermakna seperti yang telah kami bawakan kepada anda.

"Saya juga berharap anda memperoleh beberapa pengajaran yang baik yang boleh anda gunakan untuk membangunkan program silang agama sendiri yang dapat memanfaatkan masyarakat masing-masing."

Seramai 40 aktivis dan pengamal agama berlainan dari pelbagai negara Asean hadir menyertai acara ini bersama rakan sejawat mereka daripada institusi silang agama serta Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) dari Singapura.

Dalam acara empat hari itu, peserta juga terlibat dalam lawatan dan sesi pertukaran pendapat mengenai inisiatif kemasyarakatan serta mendapatkan pengalaman berkaitan dengan perpaduan antara budaya dan agama.

bottom of page