Copyright © 2019 WISEsg. All rights reserved.

WATCH

in the news

Maliki: Cari, kenal pasti kesamaan bagi tingkat keyakinan antara kaum

berita Harian

5 March 2019

Demi mempertingkat persefahaman dan memperkukuhkan lagi fabrik sosial masyarakat, satu sesi dialog silang agama diadakan di Wisma Geylang Serai minggu lalu. Ketua agama dan masyarakat daripada empat agama - Kristian, Sikh, Taoist dan Jain - berkumpul bersama lebih 200 peserta di sesi dialog Foundations of Faith untuk mengongsi tentang asas agama mereka dan menangani sebarang tanggapan salah. Turut hadir ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar) Dr Mohamad Maliki Osman. Berikut laporan BERITA HARIAN.

SETIAP orang perlu sedar dalam cara mereka memahami amalan penganut agama berlainan, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar) Dr Mohamad Maliki Osman.

Selaras itu, penganut sesebuah agama juga perlu sedar tentang mengamalkan agama mereka secara bertanggungjawab supaya setiap orang boleh saling menghormati satu sama lain.

Ini harus dilakukan dengan semangat untuk matang bersama sebagai sebuah masyarakat berpadu, iaitu masyarakat yang dapat bertahan dan pulih daripada sebarang kerosakan atau kacau-bilau ke atas fabrik sosial negara, tambah Dr Maliki.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penutup sesi dialog Foundation of Faiths yang diadakan di Wisma Geylang Serai Jumaat lalu.

Sesi dialog itu adalah sebahagian program silang agama Common Senses for Common Spaces (CSCS) yang dianjurkan lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan Wise SG dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

"Dengan cabaran yang mengancam keamanan dan keharmonian serantau kita, terdapat keperluan sebenar dan semasa bagi pendekatan membina dan kreatif untuk mencari, mengenal pasti dan menekankan persamaan kita. Ini boleh mempertingkat keyakinan dan keakraban, dan boleh mengurangkan perbezaan.

"Kita perlu memberi tumpuan pada persamaan paling asas berdasarkan moral baik yang sama, termasuk rasa hormat, keikhlasan, rasa syukur dan muhibah," kata beliau, yang juga mayor CDC South East.

Sesi dialog itu menampilkan ketua agama dan masyarakat daripada empat agama - Kristian, Taoist, Sikh dan Jain - yang mengongsi tentang asas dan rukun utama kepercayaan mereka.

Mereka ialah paderi Rev Dr Bobby Lee (Kristian), anggota Pertubuhan Antara Keagamaan (IRO) Encik Gurmit Singh (Sikh), Master Adrian Long (Taoist) dan anggota majlis IRO, Encik Rajesh R. Shah (Jain).

Mereka juga menyentuh mengenai tanggapan salah dan mitos tentang agama mereka semasa perbincangan dengan peserta.

Lebih 220 ketua dan aktivis daripada institusi keagamaan, sosial, korporat dan pemerintah menyertai sesi dialog itu.

Turut hadir ialah pelajar dan guru madrasah, sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP), politeknik, maktab rendah, Institut Pendidikan Teknikal (ITE), dan sekolah antarabangsa.

Program silang agama CSCS itu menyediakan ruang selamat bagi orang ramai mengadakan perbincangan jujur, mengenal pasti persamaan dan memperkukuh persefahaman yang sama, dan memperdalami perkenalan dan penghargaan.

Dr Maliki berkata program sedemikian boleh membantu mengurangkan tumpuan pada perbezaan yang ada, sekali gus meningkatkan penghargaan bagi kepelbagaian dan dan mengurangkan risiko konflik.

"Kita harus terus menyokong inisiatif masyarakat yang patut dipuji ini," kata beliau