top of page

WATCH

in the news

bh_20190319_interfaith_3727132.jpg

Peserta dialog silang agama bertafakur peringati mangsa

Ervina Mohd Jamil

19 March 2019

MEREKA berkumpul untuk memahami dan mengenali dengan lebih dekat ajaran asas pelbagai agama yang berbeza di sini Jumaat lalu.

​

Namun disebabkan serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada hari itu, sekitar 150 peserta dialog Foundation of Faiths (FOF) itu turut bertafakur selama seminit bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam kejadian tersebut.

​

Meskipun berlainan bangsa dan agama, mereka berdiri padu bersama sambil memperingati keluarga yang terjejas semasa sesi dialog yang berlangsung di Festive Arts Theatre di Our Tampines Hub itu.

​

FOF merupakan sebahagian program antara agama Common Senses for Common Spaces (CSCS) yang menggalak perbincangan intensif dan lebih berkesan mengenai isu antara kaum dan agama.

​

CSCS disampaikan bersama lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) di sini dengan kerjasama Wise SG, serta sokongan Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

​

Sesi dialog itu menampilkan empat pemimpin agama iaitu pastor Gereja Methodist Kampong Kapor, Reverend Gabriel Liew; Naib Pengerusi Kuil Sri Srinivasa Perumal, Encik Somasekharan; Anggota Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) An-Nahdhah, Ustaz Ashraf Anwar; dan Anggota Jawatankuasa Khas Persekutuan Tao Singapura, Master Adrian Long; serta moderator, Dr Norshisham Ma'in.

​

Acara itu turut dihadiri Naib Pengerusi CDC North East, Encik Shamsul Kamar.

Semasa berucap di acara tersebut, Encik Shamsul merujuk kepada serangan di Christchurch itu dan menarik perhatian perlunya usaha yang konsisten untuk menangani percubaan memecahbelahkan masyarakat demi membina sebuah masyarakat yang berdaya tahan dan padu.

​

"Adalah penting kita sentiasa mengadakan usaha pendekatan secara konsisten dan membina untuk berkumpul, memahami satu sama lain dengan lebih baik, mengeratkan hubungan dan menghapuskan segala rintangan atau elemen yang berupaya memecahbelahkan (masyarakat).

​

"Barulah kita sebagai warga Singapura mampu meningkatkan tahap keyakinan, keselesaan dan keakraban kita dengan satu sama lain, sedang kita terus bersatu ketika susah dan senang," katanya.

​

Semasa sesi dialog itu, ahli panel bukan sahaja berkongsi tentang ajaran asas agama masing-masing tetapi juga menjawab pertanyaan peserta dan menangani sebarang salah tanggapan yang timbul.

​

CSCS diperkenal pada 2016 dan tahun lalu, sekitar 20 sesi dialog telah dianjurkan di bawah program itu.

​

Menurut Encik Shamsul, usaha seperti CSCS harus terus disokong kerana ini satu wadah untuk meningkatkan penghargaan bagi kepelbagaian sementara mengurangkan risiko berlakunya konflik.

​

Bahkan tambahnya, lebih banyak usaha sedemikian akan dijalankan di CDC North East.

Copyright ©WISEsg. All rights reserved.

bottom of page