WATCH
in the news
Shanmugam: Undang-undang disaran hanya sasar mereka yang sengaja sebar berita palsu
Berita Harian
11 April 2019
HANYA mereka yang mengada-adakan berita palsu dan menyebarkan kepalsuan secara sengaja akan menghadapi tuduhan jenayah di bawah undang-undang yang disarankan terhadap berita palsu, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Mereka yang menyebarkan berita palsu tanpa mengetahui perkara yang sebenar tidak perlu takut.
Begitu juga, seseorang yang menyebarkan sesuatu berdasarkan salah faham tidak akan menghadapi denda, katanya.
"Mungkin ada seorang yang secara sengaja menerbitkan kepalsuan itu, dan kemudian ada ribuan orang yang menyebarkannya.
"Rang Undang-Undang ini tidak bertujuan mengenakan hukuman jenayah terhadap ribuan orang yang menyebarkan pos asal itu, seperti yang dilakukan ramai orang, tanpa mengetahui kebenarannya. Jadi, mereka tidak perlu bimbang," ujar Encik Shanmugam.
Beliau berkata demikian kepada akhbar The Straits Times kelmarin untuk menghuraikan kelakuan yang disasarkan dalam Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), dan cara bagi polis dan pendakwa menentukan niat jahat.
Mereka yang didapati bersalah menyebarkan berita palsu dengan niat jahat untuk membahayakan kepentingan awam boleh menghadapi hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Untuk menentukan niat sedemikian, Menteri Negara Kanan (Undang-Undang), Encik Edwin Tong, berkata pihak polis akan melihat fakta objektif, keadaan dan konteks.
Sekiranya perlu, mereka akan merujuk kes itu kepada Pejabat Peguam Negara, yang akan memutuskan untuk mendakwa atau sebaliknya.
Jika kes itu dibawa ke mahkamah, mahkamah akan memutuskan "melampaui keraguan munasabah apakah terdapat kes bagi orang itu menerbitkannya dengan pengetahuan kepalsuan, dan niat untuk melemahkan kepentingan awam," kata Encik Tong, yang juga Menteri Negara Kanan (Kesihatan).
Di bawah draf undang-undang itu, menteri juga diberi kuasa untuk mengarahkan pembetulan atau pemadaman kepalsuan dalam talian, dan juga meminta laman yang menyebarkan kepalsuan tersebut untuk disekat, jika mereka menjejas kepentingan awam.
Keputusan itu boleh dicabar di mahkamah, yang akan menjadi pemutus terakhir, jika permohonan kepada menteri untuk mengubah atau membatalkan arahan itu ditolak.
Namun, terdapat kebimbangan proses rayuan mahkamah itu akan mengambil masa lama dan memakan kos guaman yang tinggi.
Dalam satu perbincangan kumpulan kecil anjuran Persatuan Peguam Muslim (AML) dan Wise SG kelmarin, Encik Shanmugam berkata pemerintah akan memastikan proses rayuan terhadap keputusan menteri mengenai berita palsu itu boleh dilakukan dengan mudah dan dengan kos yang dimampui.
Ini agar individu itu boleh mencabar keputusan di mahkamah tanpa perlu mengambil peguam.
"Sudah tentu, orang ramai boleh menggunakan peguam.
"Tetapi kami mahu membuat proses itu agar anda boleh mengisi borang yang menerangkan kedudukan anda, dan kami ingin mencuba dan membuatnya cepat dan agak tidak mahal," ujar Encik Shanmugam.
Dalam perbincangan kelmarin, pensyarah undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan, menyarankan agar pemerintah membentangkan contoh bagi memudahkan orang ramai memahami definisi kepalsuan.
Beliau berkata contoh seperti itu akan membantu memperjelas tujuan rang undang-undang tersebut.
Memberi respons, Encik Shanmugam berkata pihaknya akan mempertimbangkan saranan tersebut.
Acara anjuran AML dan Wise SG itu, yang bertujuan membincangkan ucapan kebencian dan kepalsuan yang disengajakan dalam talian, turut menyelitkan sesi dialog lebih besar yang dihadiri seramai 160 akademik, peniaga, pelajar dan pemimpin agama.
Zamil penyelidik kanan Institut Kajian Dasar, Dr Carol Soon, dalam dialog itu telah bertanya bagaimana pemerintah akan mengendali maklumat sensitif yang melibatkan keselamatan negara untuk membetulkan kepalsuan.
Encik Shanmugam berkata jika kementerian terlibat memutuskan untuk memberi respons, ia perlu menilai berapa banyak maklumat yang ingin dikeluarkan, katanya.
"Ia mesti cukup jelas supaya apabila orang membacanya, mereka akan berkata ini jelas benar.
"Tetapi jika anda tidak menjelaskan secukupnya, anda mungkin mengesahkan kepalsuan asal," ujarnya.