Copyright © 2019 WISEsg. All rights reserved.

WATCH

in the news

Shanmugam perbetul persepsi berhubung tujuan utama rang diperkenal

Shahida Sarhid, Berita Harian 

14 April 2019

KEKELIRUAN tentang apa yang terangkum di bawah rang undang-undang berkaitan kepalsuan, pentingnya mendidik masyarakat agar lebih peka dalam membezakan antara berita benar daripada yang palsu, serta sekatan dan imbangan yang perlu diambil demi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawapan dalam menangani berita palsu dalam talian.

Ini merupakan antara isu yang diketengahkan dalam dialog lebih sejam mengenai Rang Undang-Undang Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), anjuran Persatuan Peguam Muslim (AML) dan Wise SG di HomeTeam NS Balestier, awal minggu ini.

Dalam dialog yang dihadiri sekitar 160 tetamu yang termasuk pemimpin agama, aktivis antara agama, pendidik, dan pelajar politeknik, maktab rendah dan madrasah, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, telah menerangkan dengan lebih mendalam selain memperbetul persepsi masyarakat berhubung tujuan utama memperkenalkan rang undang-undang tersebut.

Meski penjelasan telah dibuat di Parlimen berhubung apa yang terangkum di bawah rang undang-undang ini, masih terdapat persoalan tentang apa yang disifatkan sebagai kepalsuan.

Misalnya, seorang pelajar maktab rendah bertanyakan kepada Encik Shanmugam adakah memberi pendapat dan menggunakan metafora boleh didakwa di bawah undang-undang itu.

Menjelaskan, Encik Shanmugam berkata ada perbezaan antara pendapat daripada fakta.

"Anda masih lagi boleh menyuarakan pendapat, dan anda berhak ke atas pendapat anda sendiri.

"Tetapi jika anda mengatakan 10 pelajar terbunuh, itu adalah fakta dan jika fakta itu salah, ia perlu diperbetulkan.

"Berhubung metafora, ia bukan fakta. Ini juga tiada kaitan dengan rang undang-undang itu," ujarnya.

Aspek pendidikan dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan bagi mengekang berita palsu daripada terus tersebar turut diketengahkan dalam sesi soal jawab itu.

Akur tentang pentingnya pendidikan, Encik Shanmugam berkata memang ada usaha mendidik masyarakat agar lebih peka membezakan antara berita yang benar daripada yang palsu.

Namun, menukil contoh daripada apa yang dibentangkan dalam Jawatankuasa Pilihan sebelum ini, ia bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang membezakannya.

"Masih ramai lagi, tidak kira status pendidikan mereka, malah mereka yang berpendidikan tinggi juga apabila menerima sesuatu berita dalam talian, tidak dapat membezakan apa yang benar daripada yang palsu.

"Kami akan memberi tumpuan terhadap pendidikan, kami akan lalukan pemeriksaan dan membantu masyarakat agar lebih sedar dan lebih bijak menilai apabila menerima maklumat yang diterima.

"Tetapi memang ia sesuatu yang sukar apabila kenyataan tegas telah dibuat dan orang mudah mempercayainya, justeru kami akan cuba lakukan apa yang terdaya melalui pembetulan ini," katanya lagi.

Di bawah draf undang-undang itu, menteri diberi kuasa mengarahkan pembetulan atau pemadaman kepalsuan dalam talian, dan juga meminta laman yang menyebarkan kepalsuan tersebut disekat, jika mereka menjejas kepentingan awam.

Ini kerana kepalsuan dalam talian perlu ditangani secepat mungkin bagi mengurangkan kesannya.

Keputusan itu, bagaimanapun, boleh dicabar di mahkamah, yang akan menjadi pemutus terakhir jika permohonan kepada menteri agar mengubah atau membatalkan arahan itu ditolak.

Kementerian Undang-Undang (MinLaw) berkata sebelum ini bahawa rang undang-undang itu hanya dikenakan ke atas kenyataan fakta yang salah, dan tidak akan merangkumi pendapat, sindiran atau parodi atau kritikan terhadap pemerintah, tidak kira betapa buruknya.

Semasa sesi soal jawab itu juga, Encik Shanmugam turut memberikan respons terhadap isu mengapa menteri diberikan kuasa mengeluarkan arahan terhadap berita palsu dalam talian yang disengajakan dan adakah ia lebih praktikal jika sebuah jawatankuasa bebas untuk menyemak kepalsuan dalam talian daripada menteri.

Menurutnya, tidak seperti menteri, jawatankuasa sedemikian tidak perlu dipertanggungjawabkan secara politik.

"Jika seorang menteri membuat keputusan, beliau akan dipertanggungjawabkan di Parlimen.

"Beliau boleh dibawa ke mahkamah dan beliau perlu menjelaskan keputusannya," kata Encik Shanmugam.

Beliau menambah, jika tidak dikawal, kepalsuan dalam talian akan menimbulkan kesan.

"Pada dasarnya, pemerintah bertanggungjawab. Anda perlu memperbetulkan perkara ini dan kemudian berpegang pada keputusan yang anda buat ataupun tidak," ujarnya lagi.

SEKILAS TENTANG RANG UNDANG-UNDANG PERLINDUNGAN DARIPADA KEPALSUAN DAN MANIPULASI DALAM TALIAN

1. Erti 'kepalsuan' dalam rang undang-undang

  • Kenyataan fakta yang palsu atau mengelirukan

  • Tidak termasuk pendapat, kritikan, satira dan parodi
     

2. Apakah yang berlaku apabila kepalsuan dikenal pasti?

  • Dua kriteria harus dipenuhi: kenyataan fakta yang palsu dan menjejas kepentingan awam

  • Menteri buat keputusan awal adakah kenyataan itu palsu dan menilai kesannya pada kepentingan awam, kerjasama dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) bagi menentukan tindakan yang akan diambil

  • Tindakan termasuk menerbitkan pembetulan tentang kenyataan palsu itu atau memadamkannya; pembetulan tindakan utama
     

3. Bilakah ia menjadi kesalahan jenayah?

  • Pelaku yang berniat jahat atau mereka yang sengaja ingin meninggalkan kesan buruk kepada masyarakat dengan kepalsuan akan dikenakan hukuman jenayah

  • Mereka yang didapati bersalah sengaja menyebar kepalsuan dalam talian, dengan kesedaran perbuatannya akan mempengaruhi keputusan pilihan raya, boleh didenda sehingga $50,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya

  • Mahkamah akan memberi keputusan muktamad tentang apa yang palsu
     

4. Bagaimana rang undang-undang ini boleh mencegah berita palsu daripada   tersebar?

  • Akaun palsu atau bot yang menyebar kepalsuan terhadap kepentingan awam boleh dimatikan

  • Kod Amalan yang mengikat akan ditetapkan bagi syarikat teknologi
     

5. Bagaimana sekiranya laman web itu terus menerbitkan berita palsu?

  • Laman web yang menyebarkan kepalsuan berulang kali perlu isytihar mereka tidak boleh terima pendapatan daripada laman tersebut; ia tidak akan ditutup

  • Platform Internet termasuk Facebook juga harus bertindak cepat dengan mengehadkan penyebaran kepalsuan dengan penyiaran pembetulan dengan kenyataan palsu itu atau memadamnya

  • Jika gagal melakukan demikian, mereka boleh didenda sehingga $1 juta